Al-Quran

Listen to Quran

Isnin, 18 Oktober 2010

Persoalan Agama: Amalan bersugi dibolehkan setiap masa walaupun ketika puasa

ADAKAH menggosok gigi pada waktu pagi (dalam pukul 7 pagi dengan niat membersihkan diri untuk berkerja) boleh membatalkan puasa, kerana saya memasukkan ubat gigi ke dalam mulut.

BB,
Kuala Lumpur


Adalah disunatkan bersugi sepanjang masa sama ada semasa berpuasa atau tidak, pada permulaan hari atau pada penghujungnya. Dalam riwayat al-Bukhari, daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jika tidak kerana ia membebankan umatku, atau ke atas manusia, nescaya aku akan perintahkan mereka bersugi pada setiap kali solat.

Imam al-Nasai meriwayatkan sebuah hadis daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bersugi membersihkan mulut dan menggembirakan Tuhan.
Hadis ini menunjukkan bahawa disunatkan untuk umat Islam bersugi sepanjang masa.

Rasulullah SAW tidak mengecualikan mereka yang berpuasa daripada ibadat ini. Malah, maksud umumnya meliputi orang yang berpuasa dan orang tidak berpuasa.

Dibolehkan juga menelan air liur selepas menggunakan sugi. Tetapi jika sesuatu yang terkeluar daripada sugi itu dan memasuki mulut, ia hendaklah diludah keluar. Ia sama seperti dilakukan oleh seseorang yang berpuasa ketika mengambil wuduk. Dia dikehendaki meludah air itu daripada memasuki mulut dan dibolehkan menelan air liur selepas itu. Tidak dituntut untuk mengeringkan mulut sepenuhnya selepas berkumur.
Imam al-Nawawi berkata dalam kitab al-Mjmuk: Al-Mutawalli dan kalangan ulama lain berpendapat bahawa apabila seseorang yang berpuasa berkumur, dia dikehendaki meludahkan air itu dan tidak perlu mengeringkan mulutnya menggunakan kain atau apa saja. Tidak ada perselisihan pendapat di kalangan ulama dalam hal ini.


Imam al-Bukhari meletakkan di dalam kitabnya satu bab yang bertajuk: Bab menggunakan sugi segar atau sugi kering bagi seseorang yang berpuasa.

Imam al-Bukhari berkata: Tidak ada perbezaan antara orang yang berpuasa dan tidak. (Maksudnya, puasa atau tidak, diharuskan bersugi.

Merujuk kepada hadis Aisyah, Ata dan Qatadah berkata: Dia boleh menelan air liurnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut dalam Fath al-Bari dengan menggunakan bab yang dinyatakan oleh Imam al-Bukhari itu untuk menolak pandangan yang memakruhkan bersugi bagi orang yang berpuasa.

Ibnu Sirin menambah, penggunaan sugi boleh disamakan dengan penggunaan air untuk berkumur sewaktu berwuduk. Jadi, bersugi dibolehkan pada setiap ketika dan di dalam semua keadaan.

Dalam buku al-Fatwa al-Sadiyyah menyebut: Orang yang berpuasa disunatkan bersugi atau memberus gigi sepanjang hari. Jika dia sudah meludah segala yang ada di mulutnya sewaktu bersugi, kemudian menelan air liurnya, puasanya tidak terjejas.

Namun, dia hendaklah mengelak daripada menelan ubat gigi yang berperisa seperti limau, pudina dan sebagainya dan perlu berusaha meludahnya keluar. Jika tertelan tanpa sengaja, dia tidak berdosa. Wallahualam.

Sumber : Bharian.com.my