Al-Quran

Listen to Quran

Sabtu, 30 Oktober 2010

Betulkan persepsi memberus gigi

Betulkan persepsi memberus gigi

FAKTA kesihatan mulut membuktikan bahawa menggosok gigi sahaja tidak mencukupi untuk membersihkan plak dari mulut. Menggosok gigi hanya mampu membersihkan 23 peratus permukaan di dalam mulut, tidak termasuk kawasan antara gigi yang sukar dicapai.

Terdapat kajian mendapati bahawa kebanyakan orang tidak mampu mengekalkan tahap kebersihan mulut yang mencukupi bagi mengawal pembentukan plak. Ini kerana ketiadaan masa serta tidak menggosok gigi dengan teknik yang betul.

Maka, bagi memberi pendidikan dan penyelesaian kepada isu ini, jenama cecair kumur dan fraterniti, Listerine dan Persatuan Pergigian Malaysia bekerjasama sekali lagi dalam menjalankan aktiviti yang boleh mendidik rakyat Malaysia mengenai empat langkah penting dalam penjagaan oral yang lengkap.

Ini dilakukan menerusi aktiviti interaktif yang menyeronokkan yang dibawakan oleh Listerine Mobile Mouth, sebuah lori lima tan yang bertindak sebagai kenderaan promosi.

Kenderaan promosi bergerak yang mula diperkenal pada bulan Mac tahun ini telah memberi manfaat kepada 12,000 orang dewasa Malaysia di mana 40 peratus daripada mereka bukanlah pengguna cecair kumur.

Inisiatif ini telah mendidik masyarakat untuk memberus gigi menggunakan flos dan kumur mulut anti septik dua kali sehari serta pemeriksaan gigi berkala setiap enam bulan.

Pada bulan Jun ini, kenderaan ini akan menjelajah sekali lagi dan melawat pasar raya dan pasar raya hiper, bangunan pejabat dan pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, Selangor, Seremban, Melaka dan Johor Bahru.

Semasa pengenalan rasmi kenderaan bergerak ini, Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr. S. Sivanesan berkata, orang dewasa dapat menghindari daripada rawatan pergigian dalam jangka masa panjang dengan mengawal pembentukan plak - satu salutan berbakteria yang melekat pada permukaan gigi selepas makan, dan pengumpulannya boleh mengakibatkan kerosakan gigi, bengkak gusi dan penyakit lain yang berkaitan.

"Kami mencadangkan semua orang dewasa mengamalkan amalan kebersihan gigi harian dengan memberus, menggunakan flos dan berkumur dengan cecair kumur anti septik untuk kawalan plak terbaik serta langkah terakhir iaitu pemeriksaan gigi berkala setiap enam bulan," nasihatnya lagi.

Sementara itu, kajian yang dijalankan oleh Listerine pada 2007 mendedahkan bahawa masalah kesihatan gigi sememangnya banyak terdapat di kalangan orang dewasa Malaysia, kemungkinan berkaitan dengan salah faham yang disebutkan.

Antara fakta menarik yang diperolehi termasuklah: satu daripada 10 orang Malaysia mempunyai nafas yang berbau; 20 peratus mengalami masalah kerosakan gigi; 24 peratus daripada mereka mempunyai masalah gusi berdarah; dan semua yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut memberus gigi dengan kerap.

Pengarah Urusan Johnson & Johnson, Joyce Lee memberitahu, kajian tersebut jelas menunjukkan bahawa orang dewasa Malaysia mempunyai masalah kesihatan gigi walaupun mereka kerap memberus gigi.

"Sekiranya kita dapat memperbetul salah faham bahawa masalah gigi boleh dielakkan hanya dengan memberus gigi melalui didikan amalan penjagaan gigi yang betul dan lengkap, maka kita benar-benar membimbing rakyat Malaysia untuk menjaga kesihatan mulut mereka sebaik mungkin. Ini akan membantu mereka mengelakkan masalah gigi dan rawatan gigi yang sebenarnya dapat dielakkan dalam jangka masa panjang," katanya.

Joyce menambah, Listerine Mobile Mouth secara proaktifnya telah menarik minat orang dewasa Malaysia semasa promosi jelajah selama sebulan yang telah diadakan pada bulan Mac lalu.

"Listerine Mobile Mouth mengajak orang awam masuk ke dalam dan melihat sendiri keperluan penjagaan gigi yang baik. Konsep inilah yang menarik minat orang ramai untuk mengetahui lebih banyak lagi tentang penjagaan mulut selain permainan dan lain-lain aktiviti interaktif yang menyeronokkan.

"Kami berharap ramai lagi yang berminat mengunjungi kenderaan bergerak ini pada pusingan kedua pada bulan Jun ini," katanya.