Al-Quran

Listen to Quran

Isnin, 18 Oktober 2010

Persoalan Agama: Iktikaf amalan sunat jadi wajib jika bernazar

BOLEHKAH ustaz jelaskan apakah iktikaf? Adakah iktikaf itu wajib?

Hazim,

Ampang, Selangor. IKTIKAF adalah satu ibadat yang disyariatkan di dalam Islam sebagai mendekatkan seseorang pada Tuhan. Ada banyak hadis yang menganjurkan kita melakukan banyak amalan sunat sebagai mendekatkan diri kepada Tuhan. Amalan-amalan sunat yang dianjurkan ini termasuk beriktikaf.


Iktikaf di sini adalah seperti mendampingi masjid dengan membersihkan hati serta mengingati Allah dan taqarrub (berdamping) dengan Allah Yang Maha Pencipta dengan hati yang ikhlas. Allah amat menyukai hamba-Nya yang sentiasa berusaha bertaqarrub kepada-Nya.

Contohnya sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: Tidaklah hamba-Ku mendekati-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada dia mengerjakan apa yang sudah Aku fardukan ke atasnya. Dan sentiasalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan amalan sunat sehingga Aku cinta kepadanya. Maka apabila Aku mencintainya, Akulah yang menjadi pendengarnya yang ia mendengar dengannya dan penglihatannya yang ia melihat dengannya dan tangannya yang ia pegang dengannya, dan kakinya yang ia berjalan dengannya dan sesungguhnya jika dia meminta kepada-Ku, nescaya Aku berikan kepadanya dan sesungguhnya jika dia meminta kepada-Ku, nescaya Aku berikan kepadanya dan sesungguhnya jika dia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku berikan perlindungan kepadanya.

Iktikaf boleh dilakukan pada setiap masa, sama ada Ramadan atau bukan, tetapi yang lebih afdal kita lakukan pada Ramadan. Imam al-Nawawi menyebut mengenai iktikaf dalam al-Majmuk (jilid 6, halaman 514) iaitu: Iktikaf terbaik ialah yang diiringi puasa dan yang terbaik dari itu pula ialah dilakukan pada Ramadan dan terbaik daripada semua itu ialah ia dilakukan pada 10 hari terakhir Ramadan.
Hukum iktikaf adalah sunat. Namun ia boleh jadi wajib apabila seseorang itu bernazar melakukannya. Seperti disebutkan Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk (jilid 6, halaman 501), iaitu iktikaf ialah amalan sunat mengikut pendapat jumhur dan ia bukanlah sesuatu yang wajib kecuali jika seseorang bernazar untuk melakukannya. Disunatkan meningkatkan iktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan.


Ada beberapa riwayat hadis sahih yang menggambarkan Rasulullah SAW melakukan iktikaf di samping beberapa riwayat yang menunjukkan kalangan salaf juga melakukannya. Antaranya sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah SAW melakukan iktikaf selama 10 hari setiap Ramadan dan dalam tahun Baginda wafat, Baginda melakukan iktikaf selama 20 hari.

Sunnah dalam beriktikaf ialah tidak menziarahi orang sakit, tidak menerima sebarang pelawaan, tidak memenuhi keperluan keluarga, tidak menghadiri pengebumian jenazah dan tidak pergi bekerja di luar masjid. Sebuah hadis riwayat Abu Daud daripada Aisyah, beliau berkata: Menurut sunnah, orang beriktikaf tidak boleh menziarahi orang sakit, tidak menghadiri pengebumian jenazah, tidak menyentuh wanita serta tidak keluar masjid kecuali atas keperluan yang tidak dapat dielakkan.

Imam al-Nawawi juga mengulas di dalam kitab al-Majmuk mengenai masa paling minimum untuk beriktikaf: Majoriti berpendapat, ia hendaklah dilakukan di masjid dan boleh melakukan sedikit atau banyak malah satu jam atau hanya sebentar.

Ibnu Hazim berkata dalam kitab al-Muhalla (jilid 5 halaman 179): Iktikaf dalam bahasa Arab bererti tinggal di dalam masjid kerana Allah dengan niat untuk bersua dengannya. Iktikaf dibolehkan sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang kerana al-Quran dan al-Sunnah tidak menyebut dengan tepat tempohnya.

Ada juga pendapat mengatakan, tempoh minimum bagi iktikaf ialah sehari. Ini adalah pandangan Imam Abu Hanifah dan beberapa ulama yang bermazhab Maliki. Wallahualam.

INFO

SEBARANG kemusykilan sila hantarkan soalan ringkas menerusi e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumber : Bharian.com.my