Al-Quran

Listen to Quran

Sabtu, 30 Oktober 2010

menangani strees dlm islam

Solat menghilangkan ketegangan dalam hidup.

------------ --------- --------- --------- --------- --------- -

Dunia pekerjaan memang memberikan pengaruh yang cukup terkesan dalam
kehidupan. Apa tidaknya, satu pertiga daripada kehidupan seharian
diluangkan di tempat kerja.

Tekanan disebabkan pekerjaan merupakan interaksi kompleks di antara
persekitaran di tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan dan
mental seseorang. Persekitaran pekerjaan memberikan desakan dan
tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental
dan fizikal.

Tugas yang terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak
baik, ketua yang suka marah-marah dan suasana kerja yang tidak selesa
adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif. Tekanan
ini seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan
fisiologi seseorang individu sekiranya ia tidak ditadbir dan tidak
dikawal dengan metodologi yang tepat.

Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat
mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan,
sentiasa rasa bersalah, ketakutan, dan hilang tumpuan adalah antara
kesannya.

Kadang kala, ada dalam kalangan kita yang mencari jalan singkat dan
salah dalam mengatasi tekanan seperti ponteng kerja, melakukan masalah
disiplin di tempat kerja, merokok, meminum arak dan sebagainya.

Berlaku juga kes-kes di mana individu yang tertekan di tempat kerja
melepaskan tekanan di rumah yang mewujudkan pula masalah rumahtangga
seperti pertengkaran dengan pasangan hidup, mendera anak, dan
sebagainya.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik
menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada
ajaran dan syariat Islam.

Islam telah menetapkan bahawa seseorang yang menghadapi tekanan dan
kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin
dengan ketentuan Allah SWT.

Allah SWT telah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan
sebegini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155-156,
maksudnya: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit
perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan
(dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil
tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar
(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu
kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah
dan kepada Allah jualah kami kembali."

Sebagaimana ketentuan Allah SWT bahawa setiap apa yang ada di dunia
ini berpasangan, seperti mana siang dan malam atau lelaki dan
perempuan, begitu jugalah kesenangan dan kesukaran atau rahmat dan
dugaan. Kita harus menerima hakikat bahawa kehidupan manusia akan
selalu diuji oleh Allah SWT.

Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja
sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan nilai-nilai keimanan,
ketaqwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya.

Apabila kita yakin, dengan izin Allah SWT, segala permasalahan yang
membelenggu diri akan dirungkaikan dan akhirnya kita berjaya
menghadapi tekanan dengan tenang dan berjaya.

Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 4
maksudnya: "(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang
menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang
beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan
keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera
langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.'

Kaedah

Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang
cukup berkesan untuk diamalkan. Pertamanya, menjaga solat fardu lima
waktu dan memperbanyakkan solat sunat.

Banyak kajian pakar psikologi barat sendiri yang telah memperakukan
fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang.
Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya
solat merupakan suatu tempoh masa 'aman dan damai' di mana seluruh
tubuh dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (kepada Allah SWT).

Gerakan-gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang
pengaliran keluar hormon-hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan
Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas
terhadap sebarang tekanan.

Solat turut membantu memberi intervensi positif terhadap sistem
pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung, dan gelombang
otak.

Daripada konteks Islam, dengan mendirikan solat fardu lima waktu dan
dilengkapkan dengan amalan solat-solat sunat yang pelbagai, seseorang
itu akan diberikan pertolongan oleh Allah SWT dalam sebarang kesukaran
seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153
maksudnya: "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah
pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang;
kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang
sabar.'

Keduanya dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid,
bertasbih dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa
sebagaimana jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra'd ayat 28 maksudnya:
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka
dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang
tenteramlah hati manusia.'

Ketiganya, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir
al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa,
'al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda' (riwayat Bukhari).

Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah
kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayat
Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan.
Ini adalah kerana al-Quran (dan al-hadith) merupakan sumber teragung
dalam merungkaikan segala permasalahan manusia.

Keempatnya, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah
sementara dan akhirat jua tempat yang kekal selama-lamanya.

Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa sahaja
yang berlaku di dunia ini baik ia bersifat positif ataupun negatif
adalah sekadar 'warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama' dan akan
mendapat balasan yang setimpalnya di akhirat kelak.

Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang
terlalu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi di
Padang Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka
dan berusaha mencari keredhaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.

Kelimanya, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan
segala apa yang telah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk
ketentuan-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60
bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya
Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang
sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk
neraka Jahanam dalam keadaan hina."

Jika diri kita telah bersungguh-sungguh cuba mengatasi tekanan,
mengikut saluran dan kaedah yang tepat, maka kita juga perlu bersifat
tawakkal dan ikhlas menerima segala ketentuan-Nya.

Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang
menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar bahawa
ianya boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati
syariat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr, ayat 27-30 yang bermaksud:
"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan
kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan
keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi
diredai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan
hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku." Jika
hati dan pemikiran kita sentiasa bersandarkan kepada sifat tawaduk,
yakin dan syukur kepada Allah SWT, maka diri kita akan diberikan
petunjuk dan hidayah-Nya dalam menangani segala tekanan tersebut.