Al-Quran

Listen to Quran

Khamis, 21 Oktober 2010

Usah 'hampiri' sebelum suci

ISTERI yang berhenti haid tetapi belum mandi wajib tidak harus disetubuhi. Menurut pandangan Imam Maliki, Shafie dan majoriti ulama, isteri hendaklah mandi wajib terlebih dulu sebelum dibenarkan menjalin hubungan seks dengan suami (Ibn Rushd, I: 94). Berkaitan dengan hubungan suami isteri ketika isteri datang haid dan waktu haid, Allah swt menjelaskannya dalam firman-Nya: "Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai haid. Katakanlah: Darah haid itu suatu kotoran. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) ketika haid dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka seperti yang diperintahkan Allah kepada kamu.


Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri." (al-Qur'an, al-Baqarah (2): 222).


Bagaimanapun, Imam Abu Hanifah dan kalangan pengikutnya mengharuskan hubungan seksual apabila sudah suci (kering) daripada haid, sebanyak bilangan maksimum waktu haid, iaitu 10 hari waktu haid menurut pandangan mereka. Imam al-Auza'i dan Ibn Hazm mengharuskan hubungan itu apabila isteri terlebih dulu membasuh kemaluannya (Ibid). Saya menyokong pandangan majoriti ulama kerana lebih cermat dan baik. Bagaimanapun, jika dalam keadaan terpaksa sangat (darurat), pandangan minoriti bolehlah dipakai. Ayat di atas juga Allah s.w.t menjelaskan kedatangan haid adalah sebahagian fitrah kejadian wanita. Haid menyebabkan wanita berada dalam keadaan tidak suci. Justeru, Islam melarang perhubungan suami isteri ketika haid. Bagaimanapun, Islam masih lagi membenarkan perhubungan biasa suami isteri. Islam tidak seperti agama Yahudi yang mengasing terus isteri ketika isteri dalam keadaan haid.