Al-Quran

Listen to Quran

Ahad, 24 Oktober 2010

Senaman ringan

IBU saya kerap mengadu mengalami sakit lutut terutamanya setiap kali bangun pagi dan apabila bangun dari tempat duduk. Keadaan itu banyak menjejaskan aktiviti hariannya. Apa yang boleh dicadangkan untuk mengurangkan masalah ini?

Jawapan

Berdasarkan simptom-simptom yang dinyatakan, ibu anda mungkin mengalami osteoartritis, iaitu masalah sendi yang berpunca daripada kehausan dan kerosakan rawan. Apabila keadaan ini terjadi, pergerakan yang berterusan menyebabkan kesakitan, bengkak dan mengehadkan pergerakan sendi.

Kebanyakan penghidap osteoartritis akan memperolehi manfaat dengan senaman yang sesuai seperti senaman regangan sendi, tetapi tidak sesuai untuk senaman berimpak tinggi seperti joging. Namun senaman seharusnya dipilih mengikut kesesuaian masalah itu sendiri. Mulakan dengan sesi memanaskan badan secukupnya dan mulakan senaman secara perlahan.

Untuk masalah osteoartritis, pengambilan glukosamin adalah dicadangkan. Glukosamin merangsang penghasilan proteoglycan dan kolagen serta menormalkan metabolisma rawan yang membantu mengekalkan rawan daripada pecah. Selain itu, ia juga membantu tubuh memperbaiki rawan yang rosak dan memperlahankan kemerosotan sendi.

Kondroitin sulfat iaitu sejenis komponen rawan yang menggalakkan penahanan air dan keanjalan juga merencat enzim yang memecahkan rawan tulang. Adalah penting untuk diketahui bahawa keberkesanan kedua-dua glukosamin hidroklorida dan glukosamin sulfat adalah sama. Dos saranan harian adalah 1500 miligram glukosamin dan 1200 miligram kondroitin yang dicadangkan berdasarkan dos enam bulan kajian GAIT yang menunjukkan hasil kajian yang positif. Kajian klinikal ini membuktikan kombinasi glukosamin dan kondroitin adalah lebih berkesan dalam rawatan osteoartritis bahagian lutut bagi tahap sederhana dan serius, berbanding Celecoxib (sejenis NSAID).

Pengambilan asid lemak lemak omega 3 dan omega 6 juga memberi kelebihan tersendiri kepada masalah yang berkaitan keradangan termasuk osteoartritis. Asid lemak ini membantu mengurangkan keradangan. Kombinasi kedua-duanya dengan nisbah yang betul memberi manfaat kepada masalah ini.