Al-Quran

Listen to Quran

Selasa, 26 Oktober 2010

Kesalahan bahasa Melayu yang lazim

Kesalahan bahasa dalam penulisan sering berlaku sama ada disedari ataupun tanpa disedari. Kesalahan bahasa pasti berlaku jika kita tidak mengetahui hukum tatabahasa. Oleh itu, dalam bahagian ini disenaraikan beberapa kesalahan bahasa yang biasa dilakukan sebagai panduan dan hukum tatabahasa sebagai rujukan bagi meminimumkan kesalahan bahasa yang berlaku semasa menulis.
 
 
3.1 Kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan
 
Kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan ialah kesalahan menggunakan kata atau frasa atau imbuhan di tempat yang tidak sepatutnya. Kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan paling kerap kita lakukan dalam penulisan. Terdapat banyak kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan yang dapat saya kesan dalam bahan terbitan. Yang berikut merupakan kesalahan kata, frasa dan imbuhan yang lazim berlaku.
 
 
3.1.1 Kata, frasa dan imbuhan kata nama
 
i. Penggunaan kata nama khas di tempat kata nama am
 
a. Bahasa Inggeris dan bahasa Inggeris 
Ejaan b huruf besar bagi ejaan Bahasa Inggeris digunakan apabila merujuk kepada subjek atau mata pelajaran. Jika tidak, b bagi ejaan bahasa Inggeris perlu dieja dengan huruf kecil. Begitu juga bagi bahasa Melayu.
 
 
ii. Penggunaan kata dan frasa nama yang tidak tepat
 
a. Teladan ATAU Tauladan 
Penggunaan kata teladan adalah betul. Hal ini demikian kerana kata tauladan adalah salah mengikut tatabahasa. 
 
b. Pusat beli-belah ATAU Pusat membeli-belah
Penggunaan kata yang betul ialah pusat beli-belah. Hal ini demikian kerana pusat membeli-belah membawa maksud kompleks tersebut berjalan untuk melaksanakan urusan jual beli.
 
c. Kata alu-aluan ATAU Kata-kata aluan
Penggunaan kata yang betul ialah kata alu-aluan. Hal ini demikian kerana dalam kamus tidak terdapat perkataan aluan.
 
 
iii. Penggunaan imbuhan Pe-...-an di tempat imbuhan PeR-...-an
 
a. Persaraan ATAU Pesaraan 
Kata pesaraan tidak terdapat dalam kamus. Oleh itu, kata persaraan adalah betul.
 
b. Perdamaian ATAU Pedamaian 
Kata pedamaian tidak terdapat dalam kamus. Oleh itu, kata perdamaian adalah betul.
 
 
iv. Penggunaan imbuhan PeR-...-an di tempat imbuhan Pe-...-an
 
a. Pelantikan ATAU Perlantikan 
Kata perlantikan tidak terdapat dalam kamus. Oleh itu, kata pelantikan adalah betul.
 
b. Peletakan ATAU Perletakan
Kata perletakan tidak terdapat dalam kamus. Oleh itu, kata peletakan adalah betul.
 
NOTA: 
 
Bagi menentukan sama ada satu-satu perkataan itu menerima Pe-...-an atau PeR-...-an, perkataan itu boleh diuji dengan imbuhan beR-.... Jika perkataan tersebut boleh menerima beR-... dan meN-..., hal ini bermakna perkataan tersebut juga boleh menerima imbuhan PeR-....-an. Jika perkataan tersebut dapat menerima imbuhan meN-..., hal ini bermakna perkataan tersebut boleh menerima imbuhan Pe-...-an. 
 
 
v. Kesalahan penggunaan imbuhan kata nama
 
a. Penstrukturan ATAU Pengstrukturan 
Penstrukturan adalah betul. Hal ini demikian kerana kata pinjaman yang bermula dengan huruf s dan t menerima imbuhan pen- dan bukannya peng-.
 
b. Pergolakan ATAU Pergolakkan 
Kata pergolakan adalah betul. Hal ini demikian kerana kata nama hanya menerima imbuhan apitan peR-...-an dan bukannya peR-...-kan. 
 
c. Pengklasifikasi ATAU Penklasifikasi 
Pengklasifikasi adalah betul. Hal ini demikian kerana kata pinjaman yang bermula dengan huruf k akan bergabung dengan imbuhan peng- dan bukannya pen-.
 
 
vi. Hukum D-M
 
a. Hal-hal lain ATAU Lain-lain hal 
Penggunaan yang betul ialah hal-hal lain. Hal ini demikian kerana kata hal-hal merupakan unsur yang diterang manakala kata lain pula merupakan unsur yang menerang. Begitu juga bagi frasa lain-lain perkara dan lain-lain agenda. Frasa yang betul ialah perkara-perkara lain dan agenda-agenda lain. 
 
b. Janji temu ATAU Temu janji 
Penggunaan yang betul ialah janji temu. Hal ini demikian kerana kata janji merupakan unsur yang diterang manakala kata temu pula merupakan unsur yang menerang. Sesungguhnya, kita membuat janji untuk bertemu dan bukannya bertemu untuk berjanji. 
 
c. Pendingin hawa ATAU Penghawa dingin 
Penggunaan yang betul ialah pendingin hawa. Hal ini demikian kerana kata pendingin merupakan unsur yang diterang manakala kata hawa pula merupakan unsur yang menerang.
 
NOTA:
 
D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan itu, unsur yang diterangkan merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur penerang pula hadir pada kedudukan kedua.
 
Contohnya:
 
Diterangkan (D) Menerangkan (M)
sos cili
restoran Aminah
lampu suluh
dapur gas
perpustakaan mini
 
 
Maklumat lanjut berkenaan buku CARA MUDAH MENGENAL PASTI KESALAHAN LAZIM DALAM BAHASA MELAYU ini boleh didapati di www.books.perintis. com.my atau sila berhubung dengan Cik Nor di talian 03-9019 5303.
 
 
Jualan 1
 
Jualan penghabisan stok pelbagai siri buku cerita kanak-kanak kembali lagi.
 
Stok terhad. Diskaun hebat sehingga 70%. Jangan lepaskan peluang untuk memiliki buku-buku cerita kanak-kanak pada harga yang hebat!
 
 
Jualan 2
 
Jualan buku kondisi bekas pameran turut diadakan.
 
Buku yang dijual adalah dalam keadaan sedikit kotor atau terlipat pada bahagian kulit buku. Bahagian isi buku masih elok dan tidak terjejas.
 
Stok terhad. Diskaun hebat sehingga 50%. Jangan lepaskan peluang untuk memiliki buku kerjaya dan peningkatan diri pada harga yang hebat!