Al-Quran

Listen to Quran

Khamis, 21 Oktober 2010

DI ANTARA DUA ISTIGHFAR

"Manakala kita berdosa, Allah murka kepada kita. Dan kalau kita membawa
dosa-dosa kita yang di luar sembahyang ke dalam sembahyang, bermakna kita
menyembah Allah dalam keadaan Dia sedang murka kepada kita.

Adalah lebih patut kita beristighfar dan meminta ampun kerana kita
sangat-sangat tidak berakhlak, tidak beradab dan tidak bersopan di hadapan
Tuhan semasa di dalam sembahyang."


Istighfar bererti meminta maaf, meminta ampun dan bertaubat kepada Allah.
Di sini ingin diceritakan tentang dua istighfar.

Istighfar pertama:
Istighfar yang pertama ialah sebelum solat atau sebelum sembahyang, iaitu
sebelum takbiratul ihram.

Istighfarlah dan bertaubatlah sebanyak -banyaknya dan sepuas-puasnya.
Istighfarlah sehingga hati kita terasa kenyang, tenang dan tenteram.

Semoga dengan itu Allah ampunkan dosa-dosa kita.Supaya kita tidak membawa
dosa-dosa kita yang di luar sembahyang ke dalam sembahyang kita.

Antara sebabnya ialah:
1. Manakala kita berdosa, Allah murka kepada kita. Dan kalau kita
membawa dosa-dosa kita yang di luar sembahyang ke dalam sembahyang,
bermakna kita menyembah Allah dalam keadaan Dia sedang murka kepada
kita.

2. Manakala kita berdosa dan tidak bertaubat dari dosa-dosa itu, kita
sebenarnya orang yang derhaka dengan Tuhan. Kalau kita sembahyang
juga tanpa kita bertaubat dari dosa-dosa tersebut maka sembahyang
kita ialah sembahyang orang yang derhaka dengan Tuhan.

3. Kalau kita berdosa dan kita tidak mahu bertaubat dari dosa-dosa itu,
kita ialah orang yang angkuh dan sombong dengan Tuhan. Kalau dalam
keadaan itu kita bersembahyang, maka sembahyang kita ialah sembahyang
orang yang angkuh dan sombong, bukan setakat angkuh dan sombong
kepada manusia yang mungkin boleh dianggap ringan sedikit, tetapi
angkuh dan sombong dengan Allah itu sendiri iaitu Tuhan yang hendak
kita sembah.

4. Di dalam sembahyang, kita banyak berdoa. Kalau kita membawa dosa,
Allah murka kepada kita. Bagaimana kita dapat berdoa kepada Tuhan
yang sedang murka dengan kita. Apakah peluang bagi doa-doa kita itu
dimakbulkan Tuhan? Kalau Allah tidak makbulkan doa-doa kita kerana
Dia sedang murka kepada kita, mungkin kita akan selamat. Tetapi kalau
Allah makbulkan juga doa dan permintaan kita dalam sembahyang dalam
keadaan Dia sedang murka dengan kita, maka apa sahaja yang Allah
kurniakan itu akan menjadi istidraj. Iaitu ia akan menjadi nikmat
yang Allah kurniakan dengan marah. Ia akan menjadi nikmat yang tidak
diiringi dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Di hujungnya nanti,
kita akan jadi kufur nikmat.

5. Bagaimana pula hendak kita sembah Tuhan dalam keadaan kita sedang
derhaka kepada-Nya kerana dosa-dosa kita yang tidak terampun. Kalau
kita mengadap dan menyembah raja atau sultan manusia di dunia ini
pun, dalam keadaan kita derhaka kepadanya, mungkin dia tidak mahu
tengok kita. Kalau tengok pun, mungkin diherdik dan dimaki hamunnya
kita. Atau mungkin dia akan terus tangkap dan hukum kita.

6. Bagaimana pula akan kita sembah Tuhan kalau kita angkuh dan sombong
dengan-Nya kerana tidak mahu bertaubat dari dosa-dosa kita. Angkuh
dan sombong itu bukan sifat hamba. Ia sifat Tuhan. Bagaimana boleh
kita bersifat sombong dan angkuh dan kemudian mahu menyembah Tuhan.
Ketika itu kita bukan lagi hamba. Kita tidak tawadhuk dan tidak
merendah diri di hadapan Tuhan. Ketika itu kita seolah-olah mahu
menyamai atau menandingi Tuhan. Dalam keadaan ini, bolehkah
sembahyang kita itu dianggap sebagai satu penyembahan atau satu
pengabdian. Adakah ketika itu kita benar-benar sedang sembahyang dan
sedang mengabdikan diri kepada Tuhan?
Inilah di antara sebab mengapa sembahyang itu gagal untuk menghidupkan
rasa-rasa bertuhan dan rasa-rasa kehambaan dalam diri orang yang
bersembahyang. Kerana dalam sembahyang, mereka dimurkai Tuhan, mereka
derhaka, dan mereka sombong dan angkuh dengan Tuhan. Bila sembahyang tidak
khusyuk dan rasa-rasa bertuhan dan rasa-rasa kehambaan tidak timbul atau
tidak wujud di dalam sembahyang, maka sembahyang itu tidak ada nilai dan
tidak ada erti apa-apa. Ia tidak mendidik hati kita dan tidak akan dapat
menjauhkan kita dari perkara-perkara yang keji dan yang mungkar.

Istighfar kedua:
Istighfar yang kedua ialah sesudah memberi salam. Lainlah kalau sembahyang
kita itu seperti sembahyang orang muqarrobin atau orang siddiqin yang tidak
ada lalai dalam sembahyang mereka. Bagi mereka ini, layaklah mereka
mengucapkan hamdallah atau â€oeAlhamdulillah†selepas salam sebagai tanda
syukur kerana Allah telah kurniakan mereka nikmat khusyuk, tawadhuk dan
khuduk di dalam sembahyang mereka.

Tetapi bagi kita orang-orang awam, yang sembahyang kita cacat sini cacat
sana, bocor sini bocor sana, koyak sini koyak sana dan defect sini defect
sana, mana mungkin layak bagi kita mengucapkan hamdallah. Adalah lebih
patut kita beristighfar dan meminta ampun kerana kita sangat-sangat tidak
berakhlak, tidak beradab dan tidak bersopan di hadapan Tuhan semasa di
dalam sembahyang.

Contohnya:
1. Di hadapan Tuhan kita lafazkan berbagai-bagai perkataan, misalnya,
â€oeAllahu Akbar†, tetapi tidak faham pun apa yang kita lafazkan itu.
Kalaupun faham, tidak terasa pula bahawa Allah itu benar-benar Maha
Besar di hati kita. Kita tidak maksudkan dan kita tidak rasa apa yang
kita kata. Kita hanya berlakon dan berpura-pura di hadapan Tuhan.

2. Dalam masa kita sedang menyembah Tuhan pula, jasad kita berdiri,
rukuk dan sujud, tetapi hati dan jiwa kita entah ke mana-mana. Allah
menunggu kita untuk disembah dan untuk menerima segala pengaduan
tetapi kita tidak hadir. Kita wakilkan sahaja kepada jasad dan tubuh
badan kita yang tidak tahu dan tidak faham apa-apa. Jasad dan jawarih
kita sahajalah yang menyembah Tuhan.

Sudahlah di luar sembahyang kita tidak pernah bersama Tuhan, ini
sedang menyembah Tuhan dalam sembahyang pun kita gamak tinggalkan
Tuhan untuk berfoya-foya dengan hal-hal dunia.

Belum pernah lagi kita dengar ada orang yang mengadap raja atau
sultan dan sedang dia mengadap itu, langsung tidak menghiraukan raja
malah dia tinggalkannya sultan begitu sahaja untuk pergi ke kedai
membeli rokok. Tapi dengan Tuhan, semasa dalam sembahyang, inilah
akhlak dan perangai kita.

3. Dalam sembahyang, Allah bukan hendak berhadapan dengan jasad kita
tetapi dengan roh atau hati kita. Tetapi roh kita jarang hadir. Ramai
orang yang boleh membawa jasad dan lidah mereka untuk bersembahyang
tetapi tidak ramai yang mampu membawa roh dan hati mereka untuk
bersembahyang sama.
Demikianlah kita orang awam, selalu sahaja tidak berakhlak, tidak beradab
dan tidak bersopan dengan Tuhan. Kalau ini berlaku di luar sembahyang pun
sudah dianggap berat, inikan pula ia berlaku ketika kita sedang mengadap
dan menyembah Tuhan. Lagi-lagilah ianya dianggap berat. Patut sangatlah
kita beristighfar dan meminta ampun selepas memberi salam!






--