Al-Quran

Listen to Quran

Ahad, 17 Oktober 2010

Cara-cara menggalak anak untuk berdaya tahan

DIBAWAKAN OLEH PERSATUAN PEMUDI ISLAM SINGAPURA
Cara-cara menggalak anak untuk berdaya tahan

Oleh
Shahida Sarhid

1.Tarbiahkan Tawakkal

dan Bersangka Baik

Bezanya di antara seseorang yang berdaya waja dan yang pendek akal adalah cara mereka melihat keadaan.

Orang yang berdaya waja tidak mudah berkeluh-kesah, mencari kesilapan ataupun berputus asa.

Mereka bersangka baik bahawa setiap cabaran itu adalah anugerah Allah untuk mempertingkat diri.

Jika anak anda menghadapi kegagalan atau sesuatu cabaran, galakkan dia melihat kepada yang positif.

Terapkan nilai bertawakkal bahawa segala usaha kita perlukan bantuan Allah untuk mencapainya.

2. Terapkan Minat Menimba Ilmu

Ilmu itu penyuluh kehidupan. Setiap cabaran akan dapat diatasi jika kita tahu di mana untuk mencari huraiannya.

Galakkan (bukan paksa) anak untuk membaca. Baca bersama mereka.

Jadilah contoh dengan menunjukkan kepada anak bahawa anda juga minat membaca. Jawab soalan yang mereka utarakan walaupun ia remeh pada penilaian anda.

Jika anda tidak tahu menjawabnya, pastikan anda merujuknya ke seseorang yang boleh membantu.

Rangkaian kenalan yang luas juga memberinya peluang untuk menimba ilmu dari pengalaman mereka.

3. Usaha

Jika anak anda perlukan sesuatu, galakkan mereka berusaha untuk mendapatkannya daripada anda memberikan dengan mudah .

Beri tugasan yang dia boleh lakukan untuk mendapatkan wang tambahan.

Tunjukkan fadhilat menabung kepada anak. Dari sini, anak anda akan kenal erti ketabahan.

4. Berikan Rangsangan

Setiap kita perlukan kata-kata rangsangan untuk menghadapi cabaran.

Tunjukkan kepada anak anda kasih sayang anda dengan belaian dan kata-kata rangsangan.

Elak dari menggunakan cacian (walaupun anda tidak berniat begitu) sebagai cara merangsang.

Anak anda tidak akan dapat menyelam isi hati anda dan akan menyangka bahawa anda benar-benar kecewa dengan kegagalan beliau.

5. Sabar dan Solat

Bukankah Allah telah menjanjikan pertolongan kepada mereka yang memohon dengan sabar dan solat? Solat memberi kekuatan dalam diri anak anda.

Masa yang dihabiskan dalam solat adalah peluang untuk anak anda menikmati ketenangan dan keluar dari cabaran kehidupan harian.

Solat juga memberi anak tempat mengadu yang paling sesuai apabila menghadapi kesukaran.